HARIAN METRO, 26 October 2003Hmm... apakah hanya ibubapa yang perlu dipersalahkan? bagaimana dengan masyarakat? malah individu itu sendiri ya? bukan niatku utk menunding jari ke arah sesiapa... tapi semua itulah yang terdetik di fikiranku.. banyak lagi yg ingin ku tulis.. tapi kekangan masa membataskan aku buat masa ini..
Setempat: Paparan: Ibu bapa punca masalah anak
Oleh FUAD HADINATA YAACOB, hadinata@hmetro.com.myMASALAH yang berpunca daripada rumah seperti keganasan, perceraian dan pergaduhan dalam keluarga, dikenalpasti menjadi faktor anak-anak tertekan sehingga terbabit dengan gejala tidak sihat, termasuk melakukan jenayah. Ia dikuatkan lagi dengan teori psikiatri yang menunjukkan masalah itu timbul hasil permasalahan keluarga sehingga menyebabkan fikiran mereka terganggu.
Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Profesor Dr Mohd Hussain Habil, berkata apabila remaja melihat keganasan terjadi antara model iaitu ibu dan bapa walaupun tidak dilihat atau didengari, mereka akan mengalami tekanan mental atau perasaan. Apabila keadaan itu berlaku, ia mengundang pelbagai masalah seperti kemurungan, yang jika tidak dirawat, boleh menjadi lebih buruk lagi.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila anak-anak menyaksikan sendiri pertelingkahan ibu bapa mereka seperti bapa memukul atau memaki-hamun ibunya.
“Jika tidak dirawat atau dikawal, remaja ini akan mudah meradang, seterusnya mendorong dia melakukan keganasan, termasuk membunuh,” katanya.
Menurutnya, sindrom gangguan konduks juga boleh menjadi faktor masalah keganasan remaja, iaitu anak yang dibesarkan dalam suasana keluarga bermasalah menyebabkan dirinya cenderung memiliki tingkah laku ganas atau sikap suka membuli. Ia bertambah serius apabila remaja itu berjumpa rakan-rakan yang memiliki tingkah laku kasar, yang mana keadaan itu ada hubungkait dengan perkembangan keremajaan mereka.
“Satu daripada 10 remaja yang membesar mengalami gangguan jiwa disebabkan hormon dan perubahan kimia dalam otak dan gangguan ini mungkin disebabkan faktor genetik, misalnya pergaduhan, perceraian atau penagihan dadah,” katanya.
Selain itu, katanya, punca ketara ramai pelajar bermasalah datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan terpinggir daripada segi sosial. Menurutnya, kebanyakan remaja mengalami krisis menyesuaikan diri dengan perkembangan usia remaja dan pada peringkat itu mereka tercari-cari identiti diri serta mudah terikut dengan tingkah laku pelajar lain. Justeru, hukuman rotan yang dicadangkan untuk menangani masalah pelajar terbabit dengan pelbagai masalah sosial lain perlu dikaji dengan teliti kerana ia akan hanya memberi kesan lebih buruk lagi.
“Jika mereka dirotan tanpa membuat kajian teliti, tanpa disedari ia boleh menimbulkan masalah lain pada masa depan, misalnya mungkin dia bermasalah di luar waktu sekolah, apabila menamatkan sekolah atau apabila bekerja.
“Lebih membimbangkan hukuman rotan terhadap pelajar yang mengalami gangguan mental sebenarnya hanya berkesan sebanyak 10 hingga 20 peratus manakala 80 peratus lagi tidak dirawat dan dikhuatiri remaja ini terus membesar bersama masalah yang tidak disedarinya, termasuk ibu bapa dan guru,” katanya.
Menurut analogi perubatan, katanya, tekanan mental yang tidak merumitkan hanya memerlukan ubat untuk dirawat, manakala untuk yang lebih rumit, ia perlu dirujuk kepada pakar psikiatri atau kaunselor. “Untuk merawat masalah ini, dua pendekatan boleh digunakan, iaitu jangka pendek dan panjang, serta perlu disesuaikan dengan keadaan kerana mengikut kajian, ada 280 jenis masalah mental dikenalpasti.
“Bagi jangka pendek, apabila khidmat nasihat tidak berkesan, keluarga atau guru boleh mendapat bantuan kaunselor atau pakar psikiatri.
“Mereka juga boleh dirawat dengan mengambil ubat tertentu seperti Attention Hyper Active Syndrom untuk masalah kemurungan serta ubat lain mengikut jenis penyakit,” katanya.
Bagi jangka panjang, Dr Mohd Hussain berkata, kerajaan, khususnya melalui kementeriannya seperti Pendidikan, Kesihatan, Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat atau Pembangunan Wanita dan Keluarga, boleh berpadu tenaga mencari jalan mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini. Beliau juga menyarankan ibu bapa mendapat pendedahan mengenai masalah kesihatan mental dan kaitannya dengan zaman keremajaan anak-anak supaya dapat memahami lebih mendalam naluri mereka.
By TagBoard |