Bersama Suara Hati
... bisikan nurani luahan sanubari
Wednesday, November 12, 2003



Cinta Semusim - bhgn 9

***********



Hakim cuba mencari ruang untuk mendekatiku. Tapi aku seboleh mungkin cuba menghindarinya. Sepanjang hari itu aku sibukkan diriku di dapur dengan Sarah dan emak mereka. Sekali sekala aku melayan keletah Afin yang semakin mesra denganku. Seperti tadi, Hakim hanya mencuri pandang dari jauh.


Namun dalam kesibukkan itu aku dapat rasakan yang emak Ikmal sesekali mencuri pandang padaku. Bila mata kami bertentang… dia hanya tersenyum. Tapi senyumannya tidak semesra pagi tadi sewaktu pertama kali bersua….


Setelah seorang demi seorang tetamu meninggalkan banglo itu. Aku menjadi semakin takut. Aku bagai hilang rentak. Ingin saja aku mengajak Ikmal pulang.. tetapi alasan apakah yang harus ku berikan. Aku mencari-cari Afin dan Ikmal. Aku tidak mahu di biarkan sendirian kerana aku masih belum cukup bersedia untuk bertentang mata dengan Hakim. Aku masuk kebilik yang di sediakan untukku setelah ku lihat yang Ikmal sedang melayan kerenah Afin di kolam mandi. Hakim, Sarah dan Zul, suami sarah pun ada di situ. Tetapi Diba tidak kelihatan bersama mereka.


Aku mengunci pintu bilik dan merebahkan diri ku di atas katil. Kenangan demi kenangan antara Diba, aku dan Hakim hadir dalam fikiran. Kenapa ini harus terjadi. Kenapa aku harus bertemu dengan mereka buat kali kedua. Kenapa nasibku sebegini rupa ?. Adakah ini adalah pembalasan dari Nya atas dosa yang pernah ku lakukan. ?


Satu persatu kenangan antara aku dan Hakim tersingkap semula. Kedatangan Hakim secara mengejut kerumah sewa kami setelah hampir tiga bulan pulang ke Malaysia benar-banar mengejutkanku. Diba juga tidak tahu tentang kedatangannya kali ini. Tapi kedatangannya kali ini agak berlainan. Dia tidak lagi mencuri-curi pandang padaku seperti dulu. Sikapnya juga agak berubah. Dia juga tidak lagi cuba mendekatiku bila Diba tiada. Tapi kebaikan dan kemesraannya tetap sama. Kini dia tidak lagi menumpang di rumah sewaan kami, sebaliknya tinggal di hotel yang di sediakan oleh syarikatnya. Cuma sesekali dia akan singgah di rumah kami, itupun bila Diba ada.


Dalam situasi ini aku yang jadi keliru. Aku sepatutnya bersyukur yang masalah mungkin tidak akan timbul lagi antara kami. Tapi jauh di sudut hatiku, aku sebenarnya mengharapkan lebih dari itu. Namun bila mengingati akan perubahan pada dirinya , aku tidak mahu menjadi umpama pungguk yang rindukan bulan. Aku tidak mahu terus mengharapkan pada sesuatu yang sudah ku tahu bukannya milikku.


Pada satu petang selepas habis kuliah, aku bersetuju untuk mengikut study groupku yang lain kononnya untuk mereleasekan tension. Kami ke restoran fast food untuk makan-makan. Memandangkan antara mereka aku lebih rapat dengan Kelvin, maka aku lebih banyak bercakap
dengan dia berbanding dengan yang lain. Sebenarnya secara teorinya otak aku sama dengan otak Kelvin. Dia boleh menerima cara ku tanpa perlu bertelagah .


Kami duduk agak rapat kerana semuanya hendak duduk di satu meja. Kelvin mengangkat tangannya dan melengkari bahuku sewaktu Azman hendak mengambil gambar dengan alasan untuk di jadikan kenangan kerana semester kami akan berakhir tak lama lagi Dan itu bermakna kami akan meninggalkan alam kampus ini dan pulang ke tanahair.


Tanpa ku duga rupa-rupanya Hakim dan Diba pun ada di situ. Aku hanya menyedarinya bila Diba menghampiri kami selepas kami selesai makan. Diba tersenyum dan bertanya sama ada aku akan balik dengan Kelvin atau nak balik dengannya dan Hakim. Diba berlalu bersama Hakim setelah ku katakan yang Kelvin akan menghantar ku pulang. Dari sorotan mata Hakim aku dapat rasakan yang dia seolah-olah cemburu bila melihat kemesraan antara aku dan Kelvin. Sementelah pula tangan Kelvin masih melengkari bahuku. Tapi perasaan itu ku buang jauh kerana tak mungkin dia akan cemburu denganku kerana antara kami sememangnya tidak pernah ada sebarang ikatan.


Kata hatiku benar rupanya. Hakim sudah tidak lagi menghubungiku walau aku tahu dia masih ada urusan di sini. Hanya sekeping kad "Good Luck" yang aku terima sehari sebelum minggu peperiksaan bermula. Di sebabkan kesibukkan itulah akupun kurang memikirkan akan dirinya.


Namun tanpa di duga sehari selepas berakhirnya peperiksaan . Dia muncul di depan pintu rumah sewaan kami. Aku agak kehairanan kerana menurut Diba dia akan bertemu dan makan malam bersama keluarga Hakim yang kebetulan datang bercuti di sini. Tapi kenapa Hakim
datang kemari ?


"Diba dah lama keluar…" Kataku memulakan bicara kerana Hakim masih tercegat di muka pintu tidak bersuara.


"I datang nak jumpa you bukan Diba. I tahu dia dah sampai ke sana dan sedang berada dengan famili I. Kata-katanya itu membuatkan aku agak terkejut. Aku tidak mengajaknya masuk sebaliknya aku yang keluar. Aku berpura-pura memandang bintang-bintang yang berkelipan di langit untuk menutup getaran di dada.


"Hana…" Panggilnya lembut sekali. Aku masih tidak memandang ke arahnya.
"Hana… I missed you.." Ulangnya sambil cuba mendekati ku.


..bersambung

qalam Ifa Alyana pd 8:22 AM
:: ::

home



bsh... bersama kasih ku nukilkan, bersama sayang ku jalinkan, cinta ini hanya titipan buat ketabahan sebuah hati, biar ia kukuh menemani perjalanan berliku ke destinasi abadi... usah rindu jadi jemu, usaikan saja lara bersisa biar menjauh, jelanglah bahgia andai hadir nya di sisi cuma sebentar..
~Ifa Alyana~